Thursday, May 3, 2012

BERSIH 3.0: PENGAJARAN UNTUK SEMUA


Hilangkan ego dan fahaman politik seketika... mari kita sama-sama fikirkan satu perhimpunan, semestinya salah satu fenomena yang paling hangat dalam lembaran 2012


Assalamulaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan buat para pembaca. Pertamanya, seribu penghargaan kerana sudi menjenguk post ini. Ini adalah entri pertama saya yang akan mecuit sedikit mengenai telatah politik di negara ini. Perlu diingatkan, saya tidak mahu meletakkan sebarang kecenderungan politik dalam penulisan saya... buat masa ini. Saya bertekad untuk menyampaikan pendapat dalam pelbagai isu dalam kehidupan seharian seorang manusia di Malaysia, ini isu penting, saya merasakan satu tanggungjawab sosial untuk menyampaikan pendapat saya pada umum.

"Mus, jom gi KL, join BERSIH 3.0... naik kereta aku"

Saya tidak pasti rakan saya memang ingin mengajak saya BERSIH atau sekadar ingin berlagak dia pandai memandu. Baru dapat lesen agaknya, tu yang terlebih teruja sikit. Namun pelawaan rakan baik saya itu terpaksa saya tolak. Bukan kerana saya tidak menyokong BERSIH dan idea reformasi pilihanraya, namun kebetulan saya ada perkara yang lebih penting.

Secara jujur memang sangat-sangat hendak pergi. Sekadar ingin melihat dan mengambil gambar. Saya saksikan pelbagai karenah rakyat dan telatah demonstrasi. Kalaulah Dataran Merdeka terletak di Johor Bahru, tidak boleh tidak, saya pasti akan pergi. Nasib...

Baiklah, terus kepada topik utama. BERSIH 3.0 bertujuan menuntut 8 perkara berikut (sama seperti BERSIH 2.0):


1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)

2. Reformasikan Undi Pos
3. Gunakan Dakwat Kekal
4. Akses Media Yang Bebas & Adil
5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6. Kukuhkan Institusi Awam
7. Hentikan Rasuah
8. Hentikan Politik Kotor
Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 :
Dipengerusikan Oleh Dato Ambiga Sreenavasaan (Mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia). Anggotanya Adalah Daripada Kalangan Pimpinan Dan Aktivis NGO’s. 

sumber 
http://bm.bersih.org/

Baca dan fahami sebaiknya. Tidak ada LGBT bukan? Jadi janganlah samakan perhimpunan ini dengan perhimpunan LGBT dahulu meskipun pengerusinya sama.


Secara peribadi, saya menyokong idea yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Bagi saya, objektifnya baik dan jelas. Ini adalah perhimpunan aman. Slogan BERSIH, DUDUK BANTAH. Pengerusinya, Dato Ambiga juga menyatakan, perhimpunan tidak akan mempunyai agenda politik LANGSUNG, ini perhimpunan bagi hak rakyat. Sebagai seorang rakyat, saya bersetuju dengan konsep umumnya. Saya sokong BERSIH 3.0. Ini adalah bukti kebebasan bersuara dan kematangan politik masyarakat.


Segalanya bermula dengan Berita Utama di TV3...


Rusuhan di Dataran Merdeka....
Keadaan tidak terkawal....
Penyokong BERSIH 3.0 memberontak....
seorang jurugambar cedera parah....


Saya sedikit terkejut. Apa sudah jadi dengan idea DUDUK BANTAH?
Saya tidak berpuas hati, setelah saya mendengar serba sedikit laporannya, saya ingin rujuk pula di internet...
dan ini pula rumusan apa yang sebenarnya berlaku...


Polis menembak gas dan air kimia tanpa amaran...
Keganasan polis...
Video Anwar mengarahkan pecah masuk halangan yang disediakan pihak berkuasa...
Nik Aziz menfatwakan wajib untuk penyokong PAS turut serta...
Onar dibuat oleh SB ataupun polis yang menyamar sebagai penyokong...
Pengakuan penyokong bahawa rusuhan disuruh Anwar...
Video adegan kereta polis melanggar sekumpulan penyokong (secara tiba-tiba)...
dan seorang jurugambar yang cuba menyelamatkan polis tersebut lalu dibelasah...


p/s: ini adalah rumusan maklumat mentah yang disebarkan di internet. saya sama sekali tidak menjamin kebenaran sebarang maklumat di atas, sekadar berkongsi.


Saya sangat risau dengan keadaan kawan saya. Saya terus menelefon beliau, dan nasib baiklah, beliau tidak jadi pergi kerana saya tidak mahu menemaninya. Ceh, nama saja lelaki, mengade2...


Saya tidak mahu komen mengenai siapa yang memulakan provokasi dan mengapa keadaan menjadi tidak terkawal... kerana saya tidak berada disana dan fitnah-memfitnah adalah dosa yang besar.


Saya bertanya kepada rakan-rakan dan kenalan yang menyertai BERSIH, rata-rata semuanya menyatakan pihak polis memulakan provokasi dengan menyerang penyokong menggunakan gas pemedih mata. Ditambah lagi oleh seorang rakan, polis berbuat begitu sejurus semua wartawan luar negara beredar daripada perhimpunan tersebut.


Wallahuallam...


Beralih kepada topik yang lebih mudah untuk difikir dan dicernakan oleh pembaca...
mari kita melihat apakah signifikan BERSIH 3.0


Perkara pertama yang mengambil perhatian saya adalah janji Ambiga untuk tidak memasukkan sebarang nilai politik dalam perhimpunan tersebut. Saya tidak marah tok guru Nik Aziz kerana beliau menfatwakan sedemikian. Beliau beri fatwa, anda hendak ikut atau tidak, itu hak anda. Namun untuk Mat Sabu dan Anwar berhimpun sama... siap diberi peluang untuk berucap... membuatkan saya sedikit ragu-ragu dengan objektif sebenar perhimpunan. Kurang bijak untuk pemimpin-pemimpin itu ada bersama, kerana akan nampak sangatlah perhimpunan itu dipolitikkan. Kalau awal-awal sudah berjanji untuk tidak memasukkan unsur politik, biarlah sampai ke akhirnya berdemo perjuangkan pilihanraya... janganlah hasrat murni orang berkecuali yang turut serta disalahgunakan.


Saya masih tidak berpuas hati. Masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian. Saya terus mencari dan akhirnya saya menjumpai debat Dato Ambiga dan YB Khairy di Youtube


Debat Khairy dan Ambiga*
*mengandungi adegan penonton yang agak menarik


Oh ya,debat ini juga amat panjang dan tidak sesuai jika anda tidak mahu memberatkan otak. Dan sedikit peringatan, video tersebut tidak akan memberi kesan jika anda mempunyai mindset politik. Jadilah penonton yang neutral.


Kesimpulannya, debat tersebut membincangkan relevan BERSIH 3.0. Dato Ambiga berjaya menunjukkan pelbagai fakta dan kajian yang dibuat oleh sekumpulan pengkaji mengenai sistem pilihanraya. Secara teori, Ambiga memberatkan keseriusan sistem pilihanraya sedia dengan pelbagai kelompangan, disokong oleh fakta beliau. YB Khairy pula menjawab dan mengupas pelbagai isu yang diajukan oleh Ambiga. Bagi saya, YB Khairy juga berjaya menjawab dan menerangkan keadaan sebenar dengan baik.


Jika anda menonton video tersebut, anda boleh menyaksikan pegangan asas kedua pemimpin tersebut adalah seperti berikut:

Dato Ambiga
-menuntut PRU 2012 ditangguhkan
-enggan berbincang secara bersemuka dengan SPR
-menuntut jawatankuasa SPR sedia ada dipecat dan digantikan dengan yang baru.
-sangat-sangat tidak percaya kepada SPR atas pelbagai kegagalan dan masalah yang timbul
-tidak mengadakan sebarang perjumpaan dengan SPR selepas Bersih 2.0
-menuntut debat terbuka secara bersemuka dengan pihak SPR

Khairy Jamaluddin
-mempersoalkan nilai 'keikhlasan' dalam Bersih 3.0 yang tidak memberi ruang kepada SPR.
-mengajak Dato Ambiga bersama mengadakan perbincangan dengan pihak SPR.
-segala tuntutan BERSIH sememangnya mendapat perhatian kecuali tempoh berkempen selama 21 hari

Dalam hal debat terbuka, saya agak hairan dengan pendirian Ambiga. Beliau secara jelas menunjukkan ketidakpercayaan beliau kepada SPR namun pada masa yang sama menuntut melakukan debat terbuka?
Perkara ini tidak dijelaskan.


Dalam penyampaian fakta pula, sebagai seorang rakyat biasa yang tidak mempunyai maklumat mendalam dalam sistem pilihanraya melainkan media massa, internet dan warung kopi (sama seperti anda,penonton debat ini dan kebanyakan penyokong BERSIH) kepala saya agak pusing bila memikirkan hujah Ambiga. Kerana hujah beliau adalah terlalu eksklusif iaitu hanya dirinya dan pengkaji-pengkaji yang memberikan maklumat tersebut sahaja yang mengetahui kebenaran fakta yang diberikan.


Khairy pula membawakan penjelasan yang lebih umum dan dekat dihati. Jawapan beliau bersandarkan maklumat umum yang dibuat oleh SPR yang boleh diakses oleh mana-mana ahli parlimen. Dan sejujurnya, jawapan beliau logik dan mudah difahami.


Khairy juga menyatakan bahawa sistem yang terbaru masih lagi dalam kajian sepertimana yang dituntut oleh pihak pembangkang iaitu 45 hari. Jadi pada hemat beliau, tidak perlu untuk mengadakan BERSIH sebelum draf sistem yang terbaru dikeluarkan.


Tidak percaya? Lihat dan nilailah sendiri. Kemudian, buatlah kesimpulan anda, relevan atau tidak BERSIH 3.0?




***
Mengenai pelbagai respon rakyat, pro-kerajaan mahupun pembangkang, bagi saya kedua-duanya adalah menyedihkan.


Entahlah, tidak habis hendak menghina sesama sendiri. Semuanya hendak mencerca. Namun ada sesiapa yang menjelaskan perkara yang terbaik yang boleh dilakukan bersama? TIDAK!!!!!


Sebagai seorang rakyat Malaysia, Melayu dan beragama islam, sudah pastilah saya akan menyokong perjuangan bangsa dan agama saya. Saya amat kecewa bila dilabel oleh rakan sebagai tidak islamik kerana saya mempersoalkan perkaitan BERSIH 3.0 sebagai jihad.


Bagi saya, motif perjuangan BERSIH 3.0 terlalu samar, setidaknya di mata saya. Terlalu banyak perkara yang meragukan sebelum saya mampu menjustifikasikan perhimpunan itu sebagai satu jihad atau mainan politik semata-mata.
Memanglah ramai yang berkata, perkara yang paling penting adalah NIAT. Saya setuju. Namun pada masa yang sama, sebagai manusia yang berakal, adalah tidak boleh untuk kita menurut dan mendengar tanpa sebarang pemerhatian dan kajian. Kerana niat tidak menghalalkan cara. Dalam solat pon, tidak akan sah kalau hanya berniat sahaja. Saya tidak kisah untuk mati diperhimpunan tersebut kalau benarlah ia satu jihad, namun bagaimana pula kalau hanyalah satu mainan politik semata-mata? Mati katak jelah.


***
Bagi saya, perhimpunan seperti BERSIH 3.0 dapat dielakkan sekiranya kerajaan benar-benar komited dalam menjelaskan ketelusan sistem pilihanraya kepada umum, kalau benarlah pilihanraya umum kita adalah telus. Ini tidak, kerajaan seolah-olah memandang sebelah mata, setelah keadaan jadi kacau bilau, barulah ingin menyalahkan pihak pembangkang. Tindakan tersebut tidak bijak, hanya akan menambah kebencian masyarakat yang tidak berpuas hati dengan keadaan kerajaan.


Begitu juga dengan penyokong BERSIH dan pembangkang khasnya. Janganlah asyik menabur kebencian terhadap kerajaan dan polis, kalau betullah polis sememangnya korup dan menjadi anjing kerajaan, mengapa perhimpunan BERSIH 1 dan 2.0 tidak seteruk kali ini? Saya amat menghormati anda semua sebagai pejuang demokrasi, anda perjuangkan undang-undang dan hak asasi manusia, namun pada masa yang sama, anda tidak menghormati pihak berkuasa. Sebelum BERSIH 3.0 dijalankan pon, saya sudah melihat pelbagai post di internet yang menghina polis dan pihak kerajaan. Inikah kematangan? Maaf, saya hanya merujuk kepada segelintir penyokong sahaja.


***
Sehingga ke hari ini, saya tetap akan memegang sifat neutral dalam perkembangan politik negara.
Fahaman saya mengenai BERSIH 3.0? Saya letakkan pegangan saya bersama pengakuan jurugambar tv Al-Hijrah, Mohamad Azri Salleh yang mengalami kecederaan kerana menyelamatkan anggota polis dalam kekecohan itu. Tindakan yang amat mulia di mata saya.


                                   
Saya percaya, ini sahajalah jihad yang benar boleh dipastikan ketulenannya. 


Saya mengikuti temubual beliau di TV9 di slot Soalan 9, dimana beliau menceritakan sendiri pengalaman beliau disana. Bukan sebagai penyokong. Bukan sebagai FRU. Hanyalah pengakuan seorang jurugambar yang amat berkecuali. Beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam hal tersebut dan pengakuan adalah 100% tidak berbaur politik. Beliau menyatakan keadaan di BERSIH aman pada mulanya, hanya ada pihak yang bersorak, namun tidak lebih daripada itu. Namun perhimpunan tersebut berubah menjadi huru-hara. Bila ditanya punca huru-hara beliau tidak dapat memberi sebarang komen kerana beliau tidak membuat sebarang coverage ditempat bermulanya rusuhan. Mengenai kejadian kereta polis yang terbabas, ini cerita beliau.


Sebelum me-wrap up kerja dan mengambil gambar terakhir, beliau ternampak sebuah kereta polis yang diserang peserta. Siap ada orang lompat-lompat atas bumbung kereta lagi. Beliau menyatakan kereta tersebut berada dalam keadaan teruk (cermin pecah, remuk) dan pemandunya berada dalam keadaan tidak seperti biasa (mungkin sekali memaksudkan pemandu separuh sedar atau sebagainya). Kemudian tidak semena-menanya kereta tersebut terbabas dan diserang oleh peserta. Atas belas kasihan dan tanggungjawab sebagai seorang muslim (ini barulah betul-betul jihad), beliau meluru untuk menyelamatkan pemandu tersebut. Mungkin disebabkan keadaan yang terlalu tegang, beliau pula menjadi target baru dan di'keroyok' beramai-ramai oleh peserta. Setelah kumpulan yang memukulnya beransur kurang, beliau bangun dan melarikan diri (sempat lagi larikan diri, kalau saya, pura-pura pengsan sudah, kang dikejar balik, lagi teruk kena). Begitulah cerita beliau.*


*sebelum insiden ini,beliau turut menceritakan kisah sebuah kenderaan polis yang berjaya keluar daripada gerombolan penyokong, namun saya kurang memberi perhatian ketiak itu,hehe


***
Mengenai isu SB atau Special Branch yang didakwa memulakan kacau bilau, saya cadangkan ada pihak yang bertanggungjawab mengemukakan bukti untuk dibawa ke muka pengadilan. Kalau benarlah mereka bersalah, sememangnya mereka patut dihukum. Baru-baru ini, pihak polis telah mengeluarkan gambar peserta yang melakukan keganasan, yang secara kebetulannya, sama dengan gambar yang didakwa sebagai SB oleh sesetengah pihak. Saya tidak mahu komen terlalu banyak, namun kalau benar ada sesiapa yang mampu membuktikan kebenaran ada SB dikalangan penyerang, tampillah ke hadapan. Setidaknya tunjukkan di internet, kerana kuasa internet masa kini amatlah besar.


p/s: terasa agak hairan dengan penggunaan SB sebagai pelaku huru-hara, sebab semua polis didaftar ke ibu pejabat polis, dan amat mudah untuk dikesan sekiranya benar gambar mereka diambil dan dibuktikan. mengapa tidak diupah gangster jalanan saja, kan lebih mudah.... hmmm... nama pon gosip internet


***
Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca entri kali ini. Harapan saya kepada anda, janganlah terlalu mudah untuk percaya dengan apa yang anda dengar, kerana sesungguhnya manusia itu dilahirkan dengan akal yang sangat berharga. Salam sejahtera dan semoga anda gembira selalu. Assalamualaikum.


p/s: seandainya anda mempunyai sebarang pendapat, maklumat dan bukti yang berbeza... silalah berkongsi di ruangan comment di bawah. terima kasih :)

6 comments:

  1. bagus lah zakuan Arif ni,
    sape mus dlm citer tu,
    btw, ini satu standpoint yg telus dan bebas,
    standpoint yg menerangkan ape yg berlaku pada mata pandangan orang awam, bebas dari ayat sentimen,
    cuma kurang popular je,
    keep it up

    ReplyDelete
  2. klu dalam csi, dgan gambar muka sahaja dah boleh tahu identiti seseorang... klu kite snap gmbar peserta bersih hari tu, knpe tidak lakukan hal yg sama? semak identiti mereka? polis ataupun bukan? ataupun kite kekurangan teknologi sedemikian?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy rse malaysia xde teknologi sehebat tu, klau ad pon, memg tak ditunjuk kepada umum.semua gambar rakyat msia ad disimpan kat jpn rsenye... bleh je nak rujuk.. n xperlu teknologi yg maju pon, skang ni pon dah ad apps yg bleh trace muke yg sme...

      Delete
    2. try kat page myheritage... tp tu feature website tu, bkan ntuk download....

      Delete